Koleksi Artikel Mengandung.com

Episiotomi Bantu Kelahiran Sukar
oleh Dr. Shah Reza Johan Noor (Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia)

 Cetak Laman Ini


EPISIOTOMI merupakan satu prosedur perbidanan yang paling kerap dilakukan. Kebanyakan wanita yang melahirkan anak mengalami prosedur ini.

Dari segi sejarah perubatan, prosedur episiotomi dilakukan untuk menambah baik keselamatan ibu dan anak semasa proses kelahiran.

Kebaikan untuk ibu-ibu dipercayai dapat mengurangkan risiko kerosakan pada faraj dan perineum, mengelakkan kegelinciran rahim dan kelemahan lantai pinggul, menguatkan pengawalan sistem buang air kecil dan juga air besar serta mengelakkan gangguan penyelewengan fungsi seksual.

Di Malaysia dan seterusnya di bidang perbidanan, prosedur ini tidak lagi menjadi sesuatu yang pasti dalam proses bersalin. Ia dilakukan secara selektif untuk kes-kes perbidanan tertentu sahaja.

Secara amnya, terdapat dua jenis episiotomi iaitu median dan mediolateral, bergantung pada kedudukannya di perineum.

Di Malaysia, episiotomi yang kerap dilakukan adalah jenis mediolateral yang kedudukannya lebih kurang 450 dari garisan tengah. Kalau mengikut jam, ia terletak pada pukul 7.

Arah pemotongan pada perineum ini dapat memaksimumkan rongga perineum untuk memudahkan proses melahirkan anak.

Di samping itu, ia juga dapat mengurangkan kekoyakan pada bahagian faraj yang boleh melibatkan kawasan pembuangan air besar.

Keburukannya termasuklah kesukaran untuk menjahit, jumlah kehilangan darah yang agak besar dan juga kesukaran untuk bergerak kemudiannya.

Bilakah Episiotomi Diperlukan?

Indikasinya dianalisis secara individu. Ia diperlukan apabila tanpanya, kawasan perineum si ibu mungkin terkoyak.

Episiotomi diperlukan apabila kes-kes berikut timbul. Contohnya apabila kelahiran perlu dipercepatkan disebabkan oleh corak degupan jantung anak yang tidak seragam atau dapat dipastikan.

Lain-lain kes termasuklah kelahiran yang memerlukan bantuan forseps atau vakum, keadaan di mana kelahiran menjadi sukar disebabkan oleh saiz bayi yang besar, mungkin juga kerana doktor atau bidan mendapati kawasan perineum puan kecil di mana kekoyakan boleh melibatkan kawasan dubur.

Kesan- Kesannya

Dalam kebanyakan kes ibu-ibu yang menerima prosedur ini, tidak ada apa-apa komplikasi yang terjadi.

Walau bagaimanapun, episiotomi mungkin juga bertanggungjawab terhadap kekoyakan dan kelukaan pada bahagian-bahagian lain apabila ia tidak dilakukan secara betul.

Ada wanita yang mengalami kesukaran untuk membuang air kecil dan juga air besar selepas prosedur episiotomi.

Kesakitan pada bahagian tersebut mungkin membuat si ibu tidak dapat bergerak aktif, ketakutan yang tercetus akibat kesakitan ini mungkin juga menjejaskan hubungan kelamin.

Jenis benang dan teknik penjahitan yang digunakan oleh doktor atau bidan turut mempengaruhi kesakitan di bahagian perineum.

Kebaikan Episiotomi

Seperti mana-mana perawatan pembedahan yang lain, episiotomi hanya dilakukan apabila prosedur itu membantu situasi kelahiran untuk menyelamatkan si ibu serta bayi yang bakal dilahirkan.

Pada bayi, episiotomi mungkin boleh melindungi kepala daripada kecederaan kelahiran sebelum sampai masa, mengurangkan kelemasan dan penderitaan, mengelakkan situasi asidosis serta mengurangkan komplikasi akibat saiz bayi yang besar.

Episiotomi yang arahnya mediolateral dapat mengurangkan arah kekoyakan ke dubur. Kekoyakan sukar untuk dibaiki dan dijahit selain memerlukan masa yang agak lama untuk jahitan.

Bagi ibu-ibu yang berada berjam-jam lamanya di bilik bersalin, keletihan adalah satu kepastian. Justeru, prosedur episiotomi mungkin dapat mempercepat serta memendekkan proses kelahiran.

Penjagaan Luka Episiotomi

Puan akan merasai satu kebengkakan pada bahagian perineum untuk beberapa hari. Hujung-hujung benang juga dirasai, kesakitan mungkin mengehadkan pergerakan.

  • Pastikan kawasan luka tersebut bersih dan kering. Ubat sapu mungkin dibekalkan oleh doktor untuk digunakan semasa mencuci.

  • Bagi mengatasi bengkak pada luka, kiub-kiub air batu boleh diletakkan di atasnya untuk mengurangkan kesakitan.

  • Ubat tahan sakit boleh diambil untuk mengurangkan kesakitan. Ada juga semburan yang boleh digunakan untuk mengebaskan tempat tersebut.

  • Gunakan seluar dalam yang menggunakan gentian kapas separas pinggang (seluar seharusnya tinggi agar keselesaan terjamin).

  • Kerapkan penyalinan tuala wanita untuk tujuan kebersihan.

  • Pastikan puan duduk di tempat yang lembut.

  • Walaupun sakit, puan harus banyak melakukan pergerakan di dalam rumah bagi meningkatkan sistem pengaliran darah dan seterusnya mempercepatkan penyembuhan.

  • Makanan puan haruslah mempunyai nilai-nilai pemakanan yang tinggi supaya bekalan kalori tenaga mencukupi serta berzat.

  • Jangan tangguhkan ke tandas untuk membuang air besar dan kecil.

  • Puan harus memberi perhatian pada otot-otot pinggul serta punggung kerana penggunaannya yang kerap berupaya mempercepatkan penyembuhan.

Jika anda fikir topik ini berfaedah kepada anda, ada baiknya anda kongsikan maklumat ini bersama rakan anda yang lain. Sila klik di sini untuk me-war-warkannya.

Other Resources

Sekiranya anda belum lagi mendapatkan Laporan Rahsia Bersalin Mudah, sila dapatkan sekarang dengan memasukkan nama dan alamat email anda di bawah!

Nama Anda:
Alamat Email:


[Email Anda Adalah Rahsia
dan Saya Tidak Akan Mendedahkannya
Kepada Sesiapa Pun, Janji!]

Recomended Solution



EKONEPEK EXAMO
Istimewa Untuk
Perkembangan Minda

 

© 2006 Mengandung.com
Powered by Netpreneur Management and Consultancy