|
Biokimia
Sistem Perubatan Biokimia telah diperkenalkan oleh Dr William Helmut Schuessler dari Oldenburg, German dalam tahun 1873.
Menurutnya, dalam tubuh seseorang terdapat 12 garam tisu. Tubuh akan sihat dengan semua organ berfungsi sempurna, jika sekiranya semua garam tisu itu berada dalam keadaan seimbang. Penyakit akan terjadi dan organ-organ tidak akan dapat berfungsi dengan sempurna jika tubuh kekurangan salah satu, atau lebih daripada satu garam tisu tersebut, atau juzuknya tidak seimbang.
Schuessler menyimpulkan bahawa sekiranya satu-satu organisme menerima bekalan garam tisu asas (the body builders) secukupnya, maka sukarlah atau tidak mungkin penyakit menghidapi individu itu.
Beliau beranggapan bahawa penawar-penawar homoeopati yang begitu banyak sebenarnya tidak perlu. Lantas beliau meletakkan dasar teorinya berlandaskan idea bahawa kesemua bahan-bahan yang perlu untuk mengembalikan organisme yang sakit kepada sihat biasanya boleh didapati di dalam sistem itu sendiri.
Sebagai seorang homoeopath, beliau menganggap tubuh sebagai mekanisme yang mempunyai daya kesembuhan kendiri yang mampu mempertahankan kecekapannya seandainya ia disuburi dengan sebaiknya menerusi pemakanan.
Beliau mempercayai bahawa semua penyakit timbul disebabkan oleh kekurangan salah satu atau beberapa garam tisu ataupun disebabkan gangguan keseimbangan molekular garam-garam tisu ini di dalam mana-mana bahagian organisme tersebut. Justeru itu, kesembuhan bagi penyakit-penyakit itu boleh dilakukan dengan cara menambah garam-garam sel atau tisu yang dimaksudkan.
Timbulnya gejala atau simptom penyakit menunjukkan tubuh itu 'meragam' akibat masalah kekurangan atau ketidakseimbangan garam tisu dalam tubuh. Sebagai contohnya, semboyan-semboyan yang dikenal iaitu cepatnya denyutan nadi, muka merah, disertai dengan kesejukan dan muntah-muntah bahan makanan yang tidak hadam seperti yang terdapat dalam sakit demam tentunyanya kerana kurangnya mineral “Ferrum phos”. Oleh itu, Ferrum phos ini wajarlah diberikan sebagai penawar. Sementara demam yang berkait dengan keadaan saraf dan keadaan lemah secara keseluruhan memerlukan kepada garam tisu yang lain iaitu “Kali Phos.”
Berpandukan gejala atau simptom penyakit yang timbul, seseorang doktor akan dapat mengenal pasti garam tisu mana yang kekurangan atau tidak seimbang. Rawatan bagi penyakit ialah dengan membekalkan garam tisu yang diperlukan oleh tubuh.
Kaedah menyediakan remedi garam tisu Biokimia adalah secara triturasi. Sama seperti remedi Homeopati, remedi garam tisu biokimia juga tidak akan mendatangkan kesan sampingan yang berbahaya dan dengan itu adalah selamat digunakan walaupun dalam jangka waktu yang panjang.
12 Garam Tisu Yang Diperlukan Oleh Badan
Kesemua dua belas garam tisu yang menjadi asas sistem perubatan biokimia dan yang digunakan oleh Schuessler dalam terapinya (disebut sebagai Cellular therapy) merangkumi senarai berikut:
1. Calc. Fluor (Calcium Fluoride):
Iaitu penawar yang membantu menguatkan keenyalan tisu-tisu, lantas berguna dalam ketumbuhan yang keras, pecah-pecah, dan tegang tendon. Kekurangan Cal. Fluor dapat dikesan apabila urat-urat menjadi kendur dan tiada tenaga tegang-kendurnya.
2. Calc. Phos. (Calcium Phosphate):
Cal. phos membantu menambahkan sel darah baru, menguatkan tulang dan gigi di samping menolong penghadaman. Kurangnya bahan ini boleh menyebabkan pertumbuhan tulang yang lemah.
3. Calc. Sulph. (Calcium Sulphate):
Cal. sulph ialah penawar yang bertindak sebagai pencuci darah, dengan tujuan untuk menyihatkan kulit. Berguna untuk sakit pecah bibir dan sakit kulit yang lambat sembuh.
4. Ferr. Phos. (Iron Phosphate):
Iaitu sebahagian daripada sel darah merah yang membantu mengagihkan oksigen ke seluruh tubuh. Ia didapati sangat berguna untuk radang bahagian kulit dan demam.
5. Kali Mur. (Potassium Chloride):
Iaitu penawar yang sangat berguna bagi gangguan respirasi seperti lelah (asthma), bronkitis,, selsema, demam selsema, nafas termengah-mengah, sakit tekak, radang tonsil dan lembab penghadaman.
6. Kali Phos (Potassium Phosphate):
Penawar ini merupakan (serta bertindak sebagai) penenang dan zat makanan bagi saraf, yang mana berguna apabila dalam keadaan tegang, sakit kepala, gundah, tidak tidur dan mudah marah apabila runsing atau terlalu seronok. Ia biasa dikenali sebagai “brain tonic” atau baja untuk tisu dan otak.
7. Kali Sulph. (Potassium Sulphate):
Iaitu penawar yang berperanan dalam mengekal dan memelihara kulit yang sihat. Selain itu, ia berguna bagi membantu Ferrum Phos. mengangkut oksigen ke seluruh tubuh dan dalam kes letusan kulit yang kecil dan berair hidung.
8. Mag. Phos. (Magnesium phosphate):
Ini ialah nutrien serat saraf dan otot yang boleh digunakan dalam menghilangkan sakit seperti dicucuk, kejang, sakit perut dan sakit haid.
9. Nat. Mur. (Sodium chloride):
Nat. Mur disebut sebagai penawar yang menguasai keseimbangan air di dalam tubuh. Ia dipreskripsi untuk demam selsema, hidung berair jernih dan kadang-kadang dalam kes kulit kurang sihat dan sembelit.
10. Nat. Phos. (Sodium Phosphate):
Iaitu pengatur acid-alkaline bagi sel-sel, yang biasa digunakan apabila terlalu banyak kandungan asid, ketidak-hadaman berkait dengan gastrik dan sakit rheumatik.
11. Nat. Sulph (Sodium Sulphate):
Iaitu penawar yang mengimbang kandungan air dengan membuang air yang berlebihan dalam tubuh. Biasanya Nat. Sulph berguna untuk rasa loya, serangan sakit berkait dengan limpa, jaundice dan semboyan-semboyan influenza serta sakit kepala.
12. Silica (Silicon dioxide):
Penyuci dan keperluan asas yang digunakan apabila berlakunya pengumpulan bahan toksik, jerawat dan bintik-bintik, bernanah, bisul dan bengkak-bengkak pada tepi kelopak mata. Kadang-kadang ia digunakan juga dalam kes sembelit.
Sumber:Dipetik daripada buku tulisan Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD, “Perubatan Homoeopati,” bab 6.
Liputan Dan Laporan Media
Tentang Rumusan Istimewa Salindah

Terkini: 
Apa kata Pak Lah Tentang Perubatan Alternatif

|